penaja bersama~

Rabu, 23 September 2009

Apa mungkin Allah terima taubat kita???


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Nak mintak pandangan akak boleh?”, soalnya membuka bicara.


“Silakan, akak cuba”, jawabku.


“Apa mungkin Allah terima taubat kita kalau kita selalu mengulangi dosa yang sama?”, begini bunyi soalannya.


Jujurnya aku sedikit terkejut orang seperti dia bertanya soalan sebegitu kepadaku. Walhal dia yang lebih layak untuk menjawabnya lantaran memang bidang pengajiannya khusus tentang agama. Tentu saja dia lebih tahu tapi…


“Tu ke yang nak tanya pendapat akak?”, soalku ragu.


“Lepas buat dosa kita bertaubat, kemudian di kala iman lemah dan tergoda kita kalah dan mengulangi lagi dosa tersebut. Apabila sedar kita bertaubat dan benar bertaubat, tapi kita tetap kalah untuk hari yang datang. Kemudian kita tetap memohon taubat”, jelasnya lagi.


“Yup, apa pendapat akak, adakah Allah akan terima taubat kita tu?”, sambungnya sembari menjawab soalanku.


Dan aku tersenyum kemudian menjawab.“Enta sendiri tau jawapannya”


“Ana tak pasti”, katanya pula.


“Apa pendapat akak?”, dia mengulangi soalan yang sama. Kepelikan masih membusung di hati tapi aku cuba memikirkan ayat yang sesuai untuk menjawab soalannya. Sebenarnya jawapan itu lebih kepada mengingatkannya kerana soal-soal sebegini bukanlah asing baginya (begini yang terbersit di hati saat itu).


“Apa yang mampu akak katakan cuma mengingatkan enta bahawa Allah membuka pintu rahmat dan ampunanNya pada waktu malam buat hambaNya yang melakukan maksiat padaNya di waktu siang. Dan Allah buka kembali pintu rahmat serta ampunanNya di waktu siang buat hambaNya yang membuat maksiat padaNya pada waktu malam sehinggalah nyawa kita berada di kerongkongan. Tapi siapa yang tahu saat kematiannya? Tiada satu pun makhkuk yang tahu. Selagi kita mengakui tiada Tuhan selain Dia, maka pintu ampunan itu sentiasa terbuka luas, dik”, jawabku cuba menyusun bahasa sebaik mungkin.



“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Al-Zumar: 53).

Taubat itu adalah salah satu rahmat dari sekian banyaknya rahmat Allah buat hamba-hambaNya. Dan Allah menjanjikan keampunanNya bagi sesiapa saja yang mahu bertaubat malah menggantikan keburukan hambaNya dengan kebaikan serta pula menghapuskan dosa-dosa hambaNya yang bertaubat kepadaNya.

“Subhanallah, betapa sayangnya Allah pada hambaNya, tapi kenapa hambaNya tak terfikir dan lupa akan cinta Allah tu?”, soalan itu menuntutku berfikir sama.


“Insan… yang sering bolak balik hatinya. Sebab tu kita dituntut untuk berdoa moga Allah bolak balikkan hati kita pada keimanan hanya padaNya, taat hanya padaNya”.


“Betul kak. Kami yang belajar agama pun kadang-kadang leka. Tak tau la, hati ni kadang-kadamg sedih bila fikirkan dosa yang banyak sebelum ni”, luahnya.


Dan seperti biasa, aku dahului responku dengan senyuman.


Apabila dosa tersebut diikuti dengan lapan perkara maka mudah-mudahan ia dekat dengan kemaafan, keampunanNya.


Empat perkara tersebut berlaku di hati iaitu pertama adalah taubat (di mana ia diertikan sebagai penyesalan atas apa yang telah berlaku pada masa lalu dan takut kepada Allah akan apa yang akan datang pada masa hadapan.


Dan diertikan juga taubat itu sebagai melepaskan pakaian keburukan dan membentangkan janji kebaikan).


Kedua adalah bertekad untuk tidak mengulanginya, sementara ketiga adalah menyesal dan takut pada hukuman Allah.


Dan keempat adalah mengharap ampunan daripada Allah swt.


Sementara empat perkara lagi adalah pada anggota tubuh iaitu yang pertama solat sunat taubat dan kedua adalah memohon ampunan kepada Allah sebanyak 70 kali dan mengucapkan ‘subhaana robbiyal ‘azimi wabihamdih’ sebanyak 100 kali. Perkara ketiga adalah bersedekah dan berpuasa (Muhammad Al Sayim, 2008. ’40 Ayat Penghapus Dosa-dosa’ – dengan sedikit olahan ayat).




“Bersyukurlah dalam istighfar padaNya. Paling tidak, hati masih lembut, masih celik tiapkali teringat khilaf yang lalu”, balasku.



“Kadang-kadang hati ni kuat dan kadang-kadang lemah dan kalah dengan godaan”, katanya lagi menambah.


“Semakin kuat iman kita, semakin sering pula iman itu diuji”, ye, aku cukup yakin dengan kalimat ini.


Sungguh, Allah tidak pernah membebani hambaNya melampaui kemampuannya. Allah Maha Mengetahui kelemahan dan kemampuan hambaNya lantaran Dialah yang telah menciptakan.

Allah berfirman kepada malaikatNya ketika manusia banyak melakukan dosa, dalam hadis Qudsi disebutkan:

“Berdoalah kepadaKu dan untuk hambaKu kerana jikalau Aku telah menjadikan mereka maka sesungguhnya Aku telah menguasai mereka” (Muhammad Al Sayim, 2008. ’40 Ayat Penghapus Dosa-dosa’).

Allah berfirman dalam satu hadis Qudsi yang maksudnya:


“Aku tidak akan menghimpunkan dua ketakutan pada hambaKU dan tidak pula akan mengumpulkan dua keamanan baginya. Jika ia merasa aman daripadaKU di dalam dunia, Aku akan berikan rasa takut kepadanya pada Hari Kiamat. Dan jika ia merasa takut kepadaKU di dunia, Aku akan berikan kepadanya rasa aman pada Hari Kiamat”


(Hadis Qudsi riwayat Ibnu Mubarak dan Al-Hasan).

“Ya Allah yang menenggelamkan bintang-bintang dan menutup mata manusia, Engkau tidak tidur wahai Yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa. Ya Allah, kasihanilah kelemahan kami dan sembuhkanlah saudara-saudara kami yang sakit dan terimalah taubat kami, Engkau mengetahui keadaan kami dan tidak memerlukan permintaan kami. Maka ya Allah, cukupkanlah kami daripada kemiskinan kami dan ampunilah kesalahan kami dan bantulah kami melawan musuh-musuh kami, dan tolaklah tipu daya mereka menjadi kekalahan bagi mereka dan jauhkanlah kami daripada kejahatan mereka. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, Maha Dekat dan Maha Menjawab doa-doa kami wahai Tuhan Pemilik langit dan bumi. Selawat dan salam buat Junjungan kami Nabi Muhammad saw serta keluarga juga sahabat baginda sekalian”


Amin… Amin… Allah humma amin…



Custom Glitter Text

0 comments:

 

the real me.. Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template